Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah, mencongak semula rentak terbaik ketika diperagakan dalam Terbuka Indonesia 2024 untuk diterjemahkan semula dalam Sukan Olimpik 2024 di Paris yang berbaki 15 hari untuk disingkap.
Biarpun tersingkir dalam suku akhir kepada pasangan nombor satu dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, Pearly mengakui aksi di Istora Senayan, Jakarta itu mampu mengembalikan keyakinan mereka selepas berdepan persembahan tidak konsisten sebelum ini.
"Semasa latihan kami cari keyakinan dan cara bermain (seperti di Terbuka Indonesia 2024). Persediaan setakat ini bagus kerana kami beri sepenuhnya semasa latihan dan berjuang untuk Sukan Olimpik," katanya dalam sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.
Pearly juga mengakui mengambil pengajaran daripada kekalahan kepada pasangan China itu, termasuk ketika detik genting pasangan lawan mencuri mata dan seterusnya meraih kemenangan.
"Kami berlatih untuk berdepan dengan mata penting ketika penghujung aksi yang menyaksikan peluang untuk menang dinafikan oleh pasangan lawan," katanya, yang mengimpikan untuk meraih pingat Sukan Olimpik.
Dalam pada itu, Thinaah berharap pengalaman menentang beberapa rakan sepelatih dari Indonesia dapat membantu mereka untuk mengatasi pasangan utama dunia, termasuk Qing Chen-Yi Fan, serta gandingan nombor dua dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.
"Kedua-dua pasangan ini mempunyai kelebihan dan kekurangan. Saya fikir cabaran sebenar adalah apabila bertemu mereka di gelanggang. Kami hanya mahu fokus mata demi mata dan pergerakan (semasa dalam Sukan Olimpik)," katanya.
Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, Pearly-Thinaah hanya menang sekali daripada tujuh pertembungan menentang Qing Chen-Yi Fan dan tumpas dua dari tiga perlawanan menentang Ha Na-So Hee.
Dalam pada itu, jurulatih beregu wanita negara, Hoon Thien How, enggan meletakkan sebarang tekanan dan berharap agar Pearly-Thinaah bebas daripada sebarang kecederaan menjelang temasya terbesar dunia itu.
"Beraksi seperti dalam latihan dan fokus kepada permainan untuk meraih keputusan positif," katanya.
--Sinar Harian
Stadium Astro
Thu Jul 11 2024