Paris 2024: Noah Lyles bangga dapat gangsa di sebalik jangkitan COVID-19
Ogos 9, 2024 08:02 MYT
Juara 100m Sukan Olimpik Paris 2024, Noah Lyles, mendedahkan COVID-19 sudah pasti menjejaskan prestasinya acara akhir 200m semalam yang menyaksikannya dinafikan Letsile Tobego.
Lyles menjuarai acara riben biru dengan 0.5000 saat dan berpeluang menjadi lelaki pertama mendominasi acara 100m dan 200m dalam temasya sama sejak Usain Bolt melakukannya pada 2016.
Bagaimanapun, dia menduduki tempat ketiga di belakang Tobego dari Botswana dan rakan bintang senegara dari Amerika Syarikat (AS), Kenneth Bednarek, dengan catatan 19.70s.
Tobego merakamkan 19.46s untuk menghadiahkan emas Olimpik pertama buat Botswana yang merupakan medal Olimpik ketiga mereka dalam sejarah.
Lyles kelihatan lesu dan perlu diusung keluar selepas perlumbaan di Stade de France itu ketika khabar angin berkisar mengenai kesihatannya mula tersebar.
Kontinjen balapan dan padang AS kemudiannya mengesahkan dia tetap bertanding walaupun diuji positif COVID-19, lantas Lyles berbangga tetap berjuang dan menghasilkan gangsa.
"Saya memang ada COVID. Saya diuji positif sekitar jam 5 pagi Selasa," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.
Battled to bronze ?@LylesNoah is your Olympic bronze medalist in the 200m.#ParisOlympics pic.twitter.com/CoSYO1SlIR
— Team USA (@TeamUSA) August 8, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Saya terjaga di tengah malam dengan rasa menggigil, sakit, sakit tekak dan itu yang saya alami sebelum mendapat COVID.
"Ia pasti menjejaskan prestasi saya. Saya perlu berehat banyak. Saya batuk sepanjang malam.
"Saya lebih berbangga dengan diri sendiri daripada segala-galanya, datang ke sini untuk mendapatkan gangsa di sebalik COVID.
"Saya semakin sembuh malah saya sempat berjalan-jalan lagi. Saya berasakan agak pening selepas perlumbaan itu.
"Saya berasa sesak nafas, sakit dada tetapi selepas beberapa ketika saya sudah dapat menarik nafas dan tahu tentang keadaan diri sendiri. Sekarang saya berasa jauh lebih baik."