Mungkin ini bukan hari saya, kata pemanah recurve wanita negara, Ariana Nur Dania Zairi, selepas mengalami pemulaan mencabar dalam pusingan ranking individu, Sukan Olimpik Paris 2024 di Les Invalides sebentar tadi.

Ariana Nur Diana kelihatan gagal mengawal emosinya, sehingga pada suatu ketika terpaksa ditenangkan oleh jurulatihnya, Lee Jae Hyung.

Pemanah berusia 18 tahun itu sekadar mengumpulkan 633 untuk menduduki tangga ke-50 daripada 64 peserta.

Sebagai rekod, Ariana Nur Dania merupakan satu-satunya pemanah negara layak ke Paris dalam acara individu secara merit, di mana dia juga merupakan atlet termuda dalam kontinjen negara bagi edisi kali ini.

"Ia mungkin daripada segi fizikal berkenaan kondisi tubuh saya, ia bukan mengenai kemahiran saya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fariha Razak

"Untuk meringkaskannya, saya hanya boleh katakan mungkin hari ini bukan hari saya, mungkin bukan rezeki saya.

"Tetapi tidak mengapa, saya masih ada beberapa acara lagi, termasuk acara berpasukan. Saya masih memiliki motivasi untuk melakukan yang terbaik.

"Jurulatih hanya katakan ia bukan silap saya, seperti yang saya katakan, rezeki tidak memihak saya hari ini dan tidak banyak yang saya boleh lakukan tadi.

"Dia hanya mahu saya menikmati setiap panahan dan mendapatkan kembali prestasi terbaik," katanya.