Paris 2024: Lebih 30 rekod baru dunia dicatatkan setakat ini
King Hisyam
Ogos 8, 2024 15:17 MYT
Ogos 8, 2024 15:17 MYT
Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi temasya terbesar dunia iaitu Olimpik Paris 2024 akan menamatkan saingan secara rasmi, nyata pelbagai peristiwa dan catatan rekod dunia telahpun dilakar sekaligus memberi penanda aras yang baharu buat jaguh-jaguh sukan terkemuka dunia untuk bersaing di peringkat dunia atau olimpik seterusnya.
Jika diikutkan lebih 30 rekod dunia menarik yang telah dilakarkan oleh atlet terbaik dari serata dunia ketika ini di Paris 2024.
Ia bukan sahaja merangkumi rekod catatan masa daripada pelbagai acara sukan tetapi juga turut meliputi rekod-rekod lain seperti kutipan mata dan sebagainya.
Antara yang menarik termasuklah apa yang dilakukan oleh atlet dari Poland, Aleksandra Mirosław yang memecahkan rekod catatanya sendiri bagi acara sukan memanjat Isnin lalu.
Pada temasya kali ini beliau berjaya melakukan catatan 6.06 saat berbanding catatan terdahulu sewaktu sesi kelayakan pada Kejohanan Sukan Memanjat Kesatuan Eropah yang berlangsung di Rome, Itali dengan
catatan 6.21 saat.
Turut menarik perhatian dalam temasya kali ini adalah membabitkan atlet lompat bergalah dari Sweden, Armand Duplantis yang berjaya merekodkan catatan dunia yang baharu iaitu pada ketinggian 6.25 meter.
Rekod tersebut sebenarnya memadamkan rekod dunia yang menjadi miliknya juga iaitu 6.24 meter.
Dalam pada itu China juga seperti biasa tidak akan meninggalkan temasya olimpik tanpa membabitkan atletnya memecahkan rekod baharu dunia.
Ia terbukti menerusi acara renang 100 meter gaya bebas apabila Pan Zhanle mengejutkan dunia selepas beliau melakarkan catatan 46.40 saat yang kini menjadi rekod baharu bagi acara berkenaan.
Selain itu atlet renang wanita Australia, Kaylee McKeown juga mencipta rekod baharu dunia dalam acara 200 meter kuak lentang selepas melakukan catatan 2 minit 03.73 saat.
Olimpik Paris 2024 kali ini juga menyaksikan rekod yang dipegang oleh lagenda renang Amerika Syarikat, Michael Phelps bagi acara 200 meter medley yang dilakukan di Olimpik Beijing pada 2008 akhirnya lebur jua
di tangan perenang tuan rumah Perancis, Léon Marchand yang berjaya memadamkan catatan Phelps iaitu 1 minit 54.23 saat.
Marchand berjaya melakukan catatan lebih baik iaitu 1 minit 54.06 saat.
Dalam acara olahraga pula mungkin ramai yang agak kecewa kerana kita masih belum mampu melihat rekod catatan yang dipegang oleh Usain Bolt dipadamkan bahkan masih jauh andai berdasar catatan ketika aksi final bagi cara 100 meter.
Namun olahraga juga menyaksikan beberapa rekod baharu dunia masih mampu dilakar membabitkan acara-acara lain.
Ia termasuklah apa yang dilakukan oleh kuartet wanita 4X400 meter Amerika Syarikat, Vernon Norwood, Shamier Little, Bryce Deadmon dan Kaylyn Brown.
Mereka berjaya melakukan catatan 3 minit 07.41 saat pada sesi kelayakan sekaligus menjadi rekod baharu dunia selepas ia memadamkan rekod yang dipegang oleh kuartet senagara mereka sebelum itu di Kejohanan Dunia 2023 iaitu 3 minit 08.80 saat.