Paris 2024: Lavreysen mampu ditewaskan -- Azizulhasni
Ogos 9, 2024 19:01 MYT
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, tidak gentar terhadap reputasi besar yang dimiliki bintang Belanda, Harrie Lavreysen, dalam pemburuan pingat emas dalam acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024.
Azizul ketika ditemubual wartawan, Zulhelmi Zainal Azam, percaya juara dunia keirin tiga kali itu boleh diatasi walaupun tampil garang dalam acara lain di temasya Paris 2024.
Lavreysen mempamerkan kayuhan memukau apabila melakar rekod dunia dengan catatan 9.088 saat pada pusingan kelayakan acara pecut individu.
Terdahulu, pelumba yang diberi gelaran 'The Beast' membakar trek velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines dalam acara pecut berpasukan lelaki.
Dia bersama Roy Van den Berg dan Jeffrey Hoogland memecahkan rekod dunia mereka dua kali sebelum mempertahankan pingat emas.
Prestasi pelumba berusia 27 tahun itu bagaikan satu amaran kepada pelumba lain menjelang perlumbaan keirin yang bermula esok.