Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou, menjelaskan faktor jurulatihnya, Nova Armada, yang tidak dapat mengikuti Goh Jin Wei ke Sukan Olimpik Paris 2024 susulan memilih untuk melatih dirinya dan Fareez Anuar.

Keputusan itu adalah pilihan jurulatih itu sendiri untuk mempersiapkan Cheah dan Fareez bagi mempertahankan pingat emas dalam acara badmitnon di Sukan Paralimpik Paris nanti.



Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, juga memaklumkan bahawa jurulatih kelahiran Indonesia itu dalam persiapan akhir di Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum Sukan Paralimpik membuka tirai pada 28 Ogos hingga 8 September 2024.

Goh Jin Wei akan dibantu oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi BAM, Rexy Mainaky semasa pemain itu beraksi di Paris nanti.

"Salam sejahtera semua, saya Cheah Liek Hou ingin memberitahu kepada semua pasal isu Coach Nova tidak berangkat ke Sukan Olimpik dengan Goh Jin Wei.

"Ini disebabkan oleh Coach Nova telah mengambil keputusan berada di Malaysia yang sedang membuat persiapan terakhir bersama Saya dan Fareez Anuar di MSN untuk mempertahankan Pingat Emas yang saya menangi di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Kami pun telah bersetuju dengan perbincangan ini. Untuk pengetahuan anda, kita akan bertolak ke Sukan Paralimpik dua minggu selepas Sukan Olimpik tamat dan pulang ke tanah air.

"Terima kasih kepada Semua Rakyat Malaysia yang sering mengambil hati Atlet-atlet. Kita tengah fokus latihan dan masa sudah singkat supaya dapat menunjukkan satu prestasi yang luar biasa semasa di Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik." katanya melalui laman Instagram.