Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mempersoal tindakan yang menyingkirkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, tanpa sebarang amaran diberikan.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik olehnya di laman Instagram, Khairy atau mesra dipanggil KJ mengakui kesilapan yang dilakukan oleh The Pocket Rocketman itu ialah kesalahan peribadi namun, pihak komisar harus memberikan amaran terlebih dahulu tanpa perlu membatalkan perlumbaannya.



KJ turut berkongsi bahawa semalam merupakan insiden yang berulangan ketika edisi di Rio 2016 menyaksikan tiga pelumba melintasi derny sebelum keluar daripada trek tetapi masih diberi peluang dan memulakan semula perlumbaan.

Perlumbaan diberhentikan selama beberapa minit untuk memberi ruang ketua komisar dan wakil Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) memainkan semula rakaman itu sebelum membenarkan Jason Kenny, Datuk Azizulhasni Awang dan Joachim Eilers bertanding semula.

"Pada waktu itu, kem Malaysia sangat bernasib baik bukan Azizulhasni sahaja yang melebihi derny tatkala pelumba dari Great Britain dan Jerman juga berbuat demikian," luahnya.