OLIMPIK PARIS
Paris 2024: Jumlah penyertaan atlet negara menggusarkan -- Bekas KP MSN
Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menzahirkan rasa kegusarannya mengenai bilangan penyertaan atlet Malaysia dalam Sukan Olimpik Paris 2024 bermula hujung bulan ini.
Ini kerana jumlah penyertaan kontinjen negara agak kecil jika dibandingkan dengan negara-negara jiran.
Di Asia Tenggara, Malaysia ketika ini ditangga ketiga dengan 26 atlet, di bawah Thailand (51) dan Indonesia (29) berbaki 18 hari menuju ke Paris 2024
Iklan
Jika dilihat dalam edisi Sukan Olimpik di Tokyo 2020, malaysia dibarisi 30 atlet manakala di Rio 2016 pula, Malaysia diwakili 32 atlet.
Jadi, penurunan itu bererti pembangunan sukan dalam negara tidak bergerak ke arah yang sepatutnya, sekali gus memerlukan perubahan yang drastik.
"Pada pandangan saya, kelayakan ke Sukan Olimpik kali ini agak sukar buat Malaysia," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fariha Razak.
"Kontinjen kita terlampau kecil dan ramai nama besar tidak dapat melayakkan diri.
"Ia merupakan satu kesan yang serius dan perlu diberikan perhatian. Ia merupakan salah satu petanda yang tidak begitu membanggakan.
"Kebelakangan ini, kita menghadapi kesukaran dalam kesinambungan daripada peringkat pembangunan ke peringkat elit.
"Persaingan di peringkat tempatan agak kurang, jadi dengan kurangnya persaingan itu, ia akan kurang menggerakkan sukan berkenaan ke atas," katanya.
Must-Watch Video