OLIMPIK PARIS
Paris 2024: Dua perenang raih tiket wild card ke Paris
Dua perenang negara, Steve Khiew Hoe Yean dan Tan Rouxin, menjadi atlet terbaru negara yang bakal beraksi dalam Sukan Olimpik Paris 2024 setelah meraih tiket wild card daripada badan induk sukan itu Akuatik Dunia.
Sebelum ini, 22 atlet negara telah mengesahkan penyertaan ke Sukan Olimpik termasuk penerjun, Bertrand Rhodict Lises yang muncul atlet pertama negara layak ke Paris.
Dalam perkembangan lain, dua penerjun negara, Ooi Tze Liang dan Nur Dhabitah Sabri masih berpeluang untuk beraksi pada temasya itu dengan menggunakan lebihan kuota yang tidak digunakan atlet negara lain.
Pengarah teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas berkata keputusan berkenaan kuota kosong itu hanya akan diketahui pada 8 Julai ini.
Sukan Olimpik 2024 dijadualkan berlangsung dari 26 Julai-11 Ogos ini.