Paris 2024: Berat mata memandang, berat lagi bahu dipikul -- Azizulhasni beri penjelasan sebenar
Najmi Iman
Ogos 11, 2024 08:32 MYT
Ogos 11, 2024 08:32 MYT
Malaysia dikejutkan dengan berita penyingkiran jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, seawal pusingan pertama dalam acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.
Azizul yang merupakan harapan menggondol pingat emas pertama dalam sejarah negara terpaksa akur dengan keputusan muktamad yang dibuat oleh panel komisar meskipun sudah membuat rayuan penilaian semula sekali gus mengakhiri cabarannya dalam temasya kali ini.
Selepas bergelut dengan perasaan yang bercampur baur, The Pocket Rocketman akhirnya bersuara meluahkan rintihannya menerusi laman Instagram miliknya.
Atlet berusia 36 tahun itu menjelaskan terlebih dahulu mengenai perancangan strateginya bersama ketua jurulatih, John Beasley, untuk terus memecut laju demi mendapatkan posisi paling hadapan seawal mungkin.
“Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul”, Datuk Azizulhasni Awang. Draw perlumbaan, pacer bergerak keluar perlahan dan panel komisar kekal dengan keputusan antara situasi yang tidak memihak The Pocket Rocketman. @ASTROARENA pic.twitter.com/7iT43vC21m
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) August 10, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Wakil negara itu turut berkongsi bahawa ada cubaan untuk menghimpitnya ketika melepas selekoh ketiga oleh atlet tuan rumah, Perancis, sebelum mengekori rapat Azizul tatkala sedang bergerak pantas.
Dalam masa sama, anak jati kelahiran Dungun itu juga melontarkan pandangan mengenai kelajuan derny yang bergerak perlahan berbanding kadar kebiasaan sambil tidak bergegas keluar daripada trek selepas selekoh keempat.
Dia bagaimanapun tidak berniat untuk memotong derny sebelum ia keluar atas faktor Perancis melakukan himpitan dan terkejut dengan kelajuan derny sebelum mengakui tidak sempat untuk cuba memperlahankan basikalnya.