OLIMPIK PARIS

Paris 2024: Ariana Nur Dania kekal fokus biarpun bakal sambut hari lahir di Perancis

Muzaffar Musa 24/07/2024 | 11:11 MYT
Pemanah recurve wanita negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, kekal fokus untuk memberikan aksi terbaiknya dalam Sukan Olimpik Paris 2024 walaupun berpeluang menjadikan temasya itu sebagai hadiah paling istimewa.
Ariana Nur Dania akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-19 pada 27 Julai ini, dua hari selepas aksi penentuan ranking acara recurve individu berlangsung di Esplanade Des Invalides esok.
"Walaupun hari jadi saya akan tiba tidak lama lagi, saya tidak meletakkan apa-apa jangkaan kerana saya tahu prestasi latihan saya berada di mana dan saya tahu apa untuk dijangkakan dalam pusingan kelayakan nanti," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Apa yang saya harapkan ialah saya dapat buat yang terbaik untuk diri saya."
Pemanah itu, bagaimanapun, tidak keseorangan untuk mengibarkan cabaran negara dalam acara individu di Paris apabila turut ditemani rakan seperjuangan, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Fazil.
Dua rakannya itu dapat beraksi dalam acara berkenaan selepas layak secara merit dalam acara berpasukan dan mereka kini sedang giat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca tidak menentu sejak tiba di Paris pada Sabtu lalu.
"Hari pertama agak sukar untuk menyesuaikan diri tetapi selepas tiga atau empat hari saya berlatih di sini, saya sudah boleh menyesuaikan diri dengan situasi dan cuaca di sini selain tahu apa yang boleh dijangkakan dalam pusingan kelayakan nanti.
"Saya suka berada di venue pertandingan. Ia membuatkan saya rasa bersemangat untuk melakukan yang terbaik, cuma saya perlu membiasakan diri dengan perubahan cuaca di sini," katanya lagi
Untuk rekod, Ariana Nur Dania muncul atlet paling muda negara layak secara merit ke Paris dan bakal melakukan penampilan pertama di pentas sukan terbesar dunia itu.
#memanah #Sukan Olimpik #Paris 2024 #Ariana Nur Dania
;