Paralimpik Tokyo 2020: Jeganathan optimis Ziyad pertahan emas

Ammar Hakim
Ogos 23, 2021 19:47 MYT

'Kami sedia gegar Tokyo', itu keyakinan yang dilontarkan ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, meskipun anak didiknya tidak beraksi di pentas kompetitif hampir dua tahun.

Jeganathan juga terpaksa melayan 'kerenah' jurulatih luar negara yang mula melancar perang psikologi terhadap kem negara.
Ketibaan skuad olahraga negara di Stadium Nasional Yoyogi menarik perhatian pencabar utama seantero dunia dengan tumpuan khusus diberikan terhadap prospek emas negara, Ziyad Zolkefli.
Sensasi Ziyad di Paralimpik Rio meraih emas lontar peluru F20 dengan catatan rekod dunia menjadikan catatannya rujukan jurulatih luar negara selaku kayu pengukur bagi temasya kali ini.
Cuma persoalan yang bermain di fikiran Jeganathan, keupayaan pencabar Ziyad yang rata-ratanya dibarisi muka baru dengan kemampuan mereka belum diketahui sepenuhnya.
"Secara keseluruhan, Ziyad dalam motivasi yang baik dan dijangka menampilkan aksi terbaik. Buat masa ini, kami tidak mengetahui kemampuan prestasi lawan yang bakal dihadapi Ziyad dalam saingan kali ini," kata Jeganathan.
"Buat masa ini, saya sendiri optimis dan mereka akan menampilkan persembahan terbaik untuk cemerlang di Tokyo."
Sementara itu, bintang badminton para negara, Cheah Liek Hou, tetap cuba mencari keyakinan tambahan sebelum berangkat ke Paralimpik Tokyo 2020 esok.
Pendekatan yang diambil Liek Hou seperti yang dikongsikan kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani adalah luar daripada kebiasaan perseorangan nombor dua dunia klasifikasi SU5 itu.
Antaranya mengekalkan gaya rambut dan peralatan ketika memenangi Terbuka Antarabangsa Dubai April lalu.
"Saya dapat berasakan tekanan serta menjejaskan waktu tidur saya. Saya tetap meletakkan sasaran untuk meraih pingat emas di Tokyo," katanya.

#Ziyad Zolkefli #R. Jeganathan #Paralimpik Tokyo 2020
;