Kem tenis Sukan Paralimpik 2024 ketika ini sedang giat melakukan persiapan terakhir sebelum terbang ke Paris.

Dan jurulatih tenis para kebangsaan, Ahmad Hazeeq Ahmad Hisham, menyifatkan kadar persiapan sudah pun mencapai 85 peratus, manakala 15 peratus lagi akan diisi pada lima hari terakhir di Paris sebelum bermulanya acara tenis.

Sasaran jelas buat Hazeeq adalah untuk sekurang-kurangnya melihat pemain veteran, Abu Samah Borhan, memperbaiki rekod lalu dengan melayakkan diri ke pusingan ketiga.

Bagi Abu Samah pula bermain di lapangan tanah liat, Roland Garros, boleh dijadikan kelebihan buat dirinya memandangkan dia mempunyai rekod cemerlang di atas lapangan seperti itu.







Lebih-lebih lagi, individu seperti Abu Samah yang akan mengambil bahagian dalam temasya ketiga kariernya.

"Gelanggang ini mampu memberi kelebihan buat kami kerana kami pernah beraksi di atasnya di Turkiye.

"Saya rasa gelanggang ini rata-rata mampu memihak kepada kami walaupun pergerakannya agak terbatas.

"Saya harap rakan sepasukan sedia menyesuaikan diri," katanya di Pusat Tenis Jalan Duta.