Kegagalan Datuk Latif Romly mempertahankan pingat emas beerti kontinjen negara mengumpul dua pingat emas dalam Sukan Paralimpik Paris.
Jumlah itu meleset daripada sasaran yang ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) iaitu empat emas.
Justeru, situasi ini memperlihatkan kem negara buat kali pertama gagal meraih tiga emas selepas kejayaan temasya Rio de Janeiro 2016 dan Tokyo 2020.
Lantas Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, terpanggil untuk memperincikan permasalahan ini melalui perspektif tersendiri di sebalik kegagalan kontinjen negara.
"Ini satu seruan kebangkitan untuk kami, kami gagal dapatkan emas ketiga, kami akui dan kami terima.
"Dalam masa tanggungjawab juga harus diambil oleh MSN terutama kepada Ketua Pengarah, Abdul Rashid Yaakub, dan juga Pengarah Bahagian Para MSN, Sofian Hamzah.
"Betul di atas kertas kami nampak bagus tetapi di sini saya juga ingin maklumkan daripada segi pengurusan, daripada segi satu negara ada dua pasukan.
"Ia tidak menjadi kerana sudah tiga temasya kami mengalaminya dan saya sentiasa menutup mulut. Banyak yang tidak ada kerjasama, masalahnya benda yang sama sahaja dari Rio, Tokyo dan Paris.
"Perlu hanya ada satu kepimpinan sahaja dalam satu kapal. Maksudnya kami tidak perlu bergaduh seperti adik beradik dan ini sesuatu yang tidak elok kerana ia menjejaskan negara.
"Ini adalah maruah kebangsaan, maruah atlet kita dan saya tidak mahu ia berulang lagi. (berikan peranan untuk) MPM mengambil alih serta merta dan tidak ada lagi ke tahap yang lebih tinggi," katanya ketika diwawancara wakil Astro Arena, Karl Nunis.
Shaiful Shamsudin
Sun Sep 08 2024