Isteri Ziyad Zolkefli, Zafirah Md Nasir, mendedahkan di sebalik kejayaan suaminya merangkul pingat perak Sukan Paralimpik Paris 2024, jaguh lontar peluru para itu sebenarnya sudah pun berputus asa berikutan insiden hitam dalam temasya Tokyo, tiga tahun lalu.

Zafirah yang mengikuti kejayaan Ziyad lewat pagi tadi mengakui sokongan rakyat Malaysia menjadi sumber inspirasi kebangkitan Ziyad di Paris.

Dalam perkongsian bersama wartawan Zulhelmi Zainal Azam, Zafirah turut memberi lampu hijau untuk Ziyad beraksi dalam Paralimpik Los Angeles 2028.

"Selepas kejadian (lewat ke bilik menunggu) itu, dia rasa macam sudah jatuh dan memikirkan apakah ini pengakhiran kariernya?

"Apabila dia kembali kuat, barulah dia buka telefon bimbitnya dan tahu bahawa ramai rakyat Malaysia yang masih menyokongnya dan cakap, 'Boleh lagi. Jangan menyerah dan bangkitlah. Dia tak sangka rakyat Malaysia tetap berikan sokongan. Itu yang membuatkan dia bersemangat balik.

"Dia tetap meneruskan latihan. Dia fokus kepada latihan dan tidak balik rumah. Pada hujung minggu barulah dia akan luangkan masa bersama keluarga di rumah.

"Dia rasa macam hidup balik, Insya-Allah kalau dia masih mampu teruskan berjuang.

"Saya syukur, saya bangga dengan dia. Saya menyaksikan jatuh bangunnya. Kalau dia tengok (wawancara ini), saya nak tahu bahawa saya sentiasa bangga dengannya," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.