Paralimpik Paris: Imaan Aiman mahu ke final, idam pecah rekod kebangsaan
Najmi Iman
Ogos 20, 2024 20:41 MYT
Ogos 20, 2024 20:41 MYT
Sasaran ke final Paralimpik Paris 2024 merupakan hasrat perenang berusia 18 tahun, Muhammad Imaan Aiman, dalam acara 100m kuak lentang lelaki S14 (kecacatan intelektual) di samping mahu memecahkan rekod kebangsaan miliknya iaitu 1m 01.76s yang dicatatkan di Kejohanan Siri Dunia Renang Para 2023 di Singapura.
"Alhamdulillah, buat masa sekarang semua sudah 100 peratus berjalan lancar.
"Bercakap mengenai mentaliti, ramai yang mengatakan bahawa saya tidak layak tetapi saya ingin menegaskan yang saya sememangnya boleh lakukan sebab saya sudah buat yang terbaik.
"Saya mensasarkan untuk ke final dan jika ada rezeki saya akan mencuba meraih pingat namun, tidak mahu menjanjikan apa-apa," katanya.
Dalam masa sama, jurulatihnya, Azharuddin Hashim, memaklumkan persiapan anak buahnya itu berjalan lancar seperti yang diharapkan.
Kini, memamksimumkan tahap kecergasan serta meningkatkan mentaliti merupakan fokus utama perenang kelahiran Kuala Lumpur itu sebelum berlepas ke Paris Jumaat ini.
"Mereka menunjukkan perkembangan positif dan komitmen yang tinggi dan saya menyambut baik sasaran Imaan untuk pergi ke final," katanya.