Paralimpik Paris: Aspek keselamatan diberi penekanan khusus
Shaiful Shamsudin
Ogos 23, 2024 19:33 MYT
Ogos 23, 2024 19:33 MYT
Debaran Sukan Paralimpik Paris 2024 kian terasa dengan keberangkatan atlet negara yang berkobar-kobar bagi memastikan kejayaan dalam temasya yang bermula Khamis depan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yakin atlet paralimpik kebangsaan mampu meraih lebih daripada empat pingat emas seperti yang disasarkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebelum ini.
"Saya memberi jaminan bahawa kontinjen Malaysia berada dalam keadaan selamat di sana dan peninjauan saya ke perkampungan atlet di sana juga mendapati tiada masalah yang berlaku", katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA).
Selain sasaran pingat, aspek keselamatan turut menjadi antara perkara yang diberi penekanan khusus demi memastikan kebajikan atlet terus dijaga dan diselia dengan baik.
Sementara itu, Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, memberi jaminan bahawa segala isu berhubung permasalahan akreditasi melibatkan keseluruhan kontinjen tidak akan timbul menjelang temasya kali ini.
"Alhamdulillah tiada sebarang permasalahan mengenai akreditasi setiap atlet dan pegawai pasukan kerana semuanya mencukupi seperti yang dimaklumkan oleh YB Hannah Yeoh, " katanya.