RENANG
Paralimpik Paris 2024: Imaan Aiman akui perlu perbaiki stamina selepas tamat di tempat ke-7
Sebelum berdepan cabaran yang lebih getir di Olimpik Paris, atlet para renang kebangsaan kategori S14, Imaan Aiman terlebih dahulu menjadikan Kejohanan Renang Para Kebangsaan kali ini sebagai pemanas badan.
Sedikit asing beraksi dalam kategori 'Timed Finals' 100 meter gaya bebas lelaki kelas S3-S14, Imaan hanya menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan catatan masa 1 minit 3.48 saat.
"Saya rasa saya tidak cukup bagus untuk ke sana(Paris) kerana saya rasa perlu perbaiki stroke dan stamina saya.
"Setakat ini saya rasa tahap kebersediaan saya adalah pada 95 peratus.
"Sasaran saya semestinya untuk memungut pingat. Semua atlet mahukan itu, tetapi saya merasakan dapat pingat pun adalah satu pencapaian terbesar untuk saya," kongsi Imaan.
Sementara itu, atlet renang para wanita S4, Brenda Anellia, pula menganggap kegagalan melayakkan diri ke Paralimpik Paris bukanlah penghalang buat dirinya untuk terus melakar keputusan positif.
Dalam Kejohanan Renang Para Kebangsaan kali ini, dia hanya menamatkan saingan di tempat terakhir bagi acara 50 meter kuak lentang S3-S14 dengan catatan masa 1 minit 9.39 saat.
"Saya cukup sibuk, sebelum saya sertai kejohanan ini, saya perlu menjalani peperiksaan di universiti.
"Ini adalah catatan masa terbaik saya, cuma berharap catatan itu terus diperbaiki," kata Brenda.