Hasrat tlet para lompat jauh kategori T-12, Jonathan Wong Kar Gee, untuk menyumbangkan pingat kedua buat negara dalam Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France tidak kesampaian.

Ini berikutan lompatan terakhir atlet Sepanyol, Fernando Vazquez, berjaya memintas wakil negara menerusi catatan lompatan 6.88 meter, sebentar tadi.

Pemenang pingat emas di Kejohanan Grand Prix (GP) Olahraga Para Dunia 2024 itu membuat lompatan 6.85 meter selepas lompatan keempat.




Dalam pada itu, kehilangan kasut spike miliknya di Paris ketika berada dalam sesi latihan memberikan kesan secara tidak langsung kepada atlet muda negara itu untuk menyumbangkan pingat.

"Daripada pengalaman saya, perkara ini berlaku dalam kejohanan sebelum ini juga. Emosi saya semestinya sedih tetapi belum terasa lagi ketika ini. Saya berharap lompatan terakhir saya semakin baik tadi tetapi itu tidak berlaku.

"Saya rasa hari ini saya tidak beraksi dengan baik dengan kelajuan juga kurang baik. Keadaan badan saya juga bukan dalam keadaan baik.




"Saya hilang kasut spike juga sebelum ini ketika latihan tetapi saya bersyukur kerana bawa dua kasut. Pada mulanya saya agak terkesan dengan kehilangan itu, tetapi saya sudah buat laporan dan mereka masih mencari kasut spike saya. Terima kasih atas sokongan." katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.