Paralimpik Paris 2024: Dekwan akur gagal buat penampilan ketiga

Muzaffar Musa
Ogos 27, 2024 18:36 MYT
Menjelang upacara pembukaan Sukan Paralimpik Paris 2024 pada Rabu ini, antara perkara yang akan dirindui peminat sukan tanah air sudah pasti kelibat bekas pemenang pingat emas acara 100 meter T36 edisi Rio 2016, Ridzuan Puzi.
Ini kerana pelari pecut yang mesra disapa dengan panggilan Dekwan itu sekadar mengakhiri final Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe pada Mei lalu di tempat keenam dengan catatan 12.50s, jauh daripada catatan peribadi terbaiknya, 11.87s.
Pengarah Bahagian Para Majlis Sukan Negara (MSN), Sofian Hamzah, menyifatkan ketiadaan Dekwan dalam senarai Paris amat mendukacitakan tetapi ia juga menjadi pintu untuk bakat baru olahraga negara untuk mengikut jejak pelari itu suatu hari nanti.
Sofian berkata kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam: "Seperti semua sedia maklum, untuk layak ke Paris, mereka perlu melepasi kelayakan tertentu.
"Dalam masa sama, kami sebagai kontinjen negara perlu menunggu slot daripada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa.
"Dalam kes ini, kami menerima enam slot, di mana empat slot merupakan slot automatik berdasarkan atlet yang memenangi pingat dalam Kejohanan Dunia di Perancis dua tahun lalu.
"Jadi kita tidak boleh menafikan slot tersebut buat mereka yang layak.
"Pada masa sama, kami juga menunggu slot berprestasi tinggi. Memang dalam senarai awal Ridzuan Puzi memang merupakan calon seandainya kami memiliki slot yang banyak.
"Bagaimanapun, selepas tarikh tutup kelayakan, kami hanya menerima dua slot dan kami telah melakukan analisis yang mengambil kira prestasi semasa atlet.
"Jadi, ia berdasarkan prestasi semasa kami tidak dapat menyenaraikan Dekwan dalam edisi kali ini," katanya.
Dalam pada itu, Dekwan akur gagal membuat penampilan ketiga dalam temasya berkenaan tetapi masih bersemangat untuk meneruskan kariernya sambil beranggapan tidak mustahil untuk dia mengejar kelayakan ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028.
Dekwan berkata: "Buat masa sekarang, kita bagi peluang kepada atlet baru. Saya yakin mereka mampu menyerlah dan saya akan teruskan perjuangan dengan latihan.
"Terima kasih kepada semua. Walaupun saya tidak dapat ke Sukan Paralimpik 2024, saya rasa saya boleh lagi bersaing dan harap semua dapat memberi semangat untuk saya layak ke Sukan Paralimpik 2028 nanti."
#Paralimpik #Ridzuan Puzi #Olahraga para #Sukan Paralimpik Paris 2024
;