SUKMA
Para Sukma Sarawak: Tempuh lapan jam perjalanan sokong anak bertanding
Kehadiran pertama kali si ayah, Jabai Nanta, buat perenang tuan rumah Galang Jabai ke Pusat Akuatik Pandelela Rinong dengan menaiki bas selama lapan jam dari Julauk ke Kuching bagi menyokong perjuangan anaknya, tampak memberi kesan positif apabila tiga pingat emas dan dua perak diraihnya buat masa ini.
Selain emas dalam acara 50 dan 100 meter gaya bebas S7 serta 4x100 meter gaya bebas dengan 34 mata, Galang turut memungut perak dalam acara 200 meter rampaian individu SM7/SM8 dan 50 meter gaya kuak kupu-kupu S6/S7.
"Ini kali pertama saya mendapat ganjaran besar, lagipun bapa sanggup datang jauh-jauh untuk melihat saya jadi juara," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Jabai Nanta turut berbangga dengan kejayaan anaknya itu dan berkongsi mengenai kemalangan jalan raya yang hampir meragut nyawa Galang pada 31 Ogos 2002, selain memberi kenangan bermakna buat isterinya yang telah meninggal dunia pada 17 November lalu kerana kanser payudara.
"Saya memang datang dari jauh, perjalanannya mengambil masa lapan jam.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Dari kampung ke Sibu dan untuk sampai ke sini (Kuching) lagi menaiki bas. Kami sanggup bertungkus-lumus.
"Lagipun dia perlukan sokongan, ibunya pula sudah meninggal dunia," katanya pula.
Galang akan turun dalam acara terakhir esok iaitu acara 4x100m rampaian lelaki 34 mata dalam misi menambah koleksi pingat ke enam selain, memburu tambahan insentif daripada Kerajaan Negeri Sarawak.
"Sebagai bapa saya sangat bangga dan lebih gembira dengan emas. Harap-harap dapat tambah satu lagi emas esok," kata Jabai Nanta.