Kem para memanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam persiapan fasa akhir sebelum menggegar Para Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 yang membuka tirainya empat hari lagi.

Bagaimanapun, pengurus pasukan, Muhammad Ghazali, telah melalui banyak ranjau apabila perlu 'hidup secara nomad' demi mencari tempat untuk berlatih.

Mereka berpindah lima kali sebelum memberi tumpuan penuh latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak.

"Kami berpindah dari kem MSN Keramat ke kem latihan Sungai Besi, lepas itu kami kembali MSN Keramat sebelum dirobohkan.

"Kemudian kami berpindah ke Sapura Techology di Wangsa Maju dan apabila tempat itu mahu dibangunkan, kami berpindah pula ke Precint 5, Putrajaya.

"Daripada 12 pemanah, tiga daripada dari Putrajaya dan selebihnya dari Kuala Lumpur. Jadi banyak masa terbuang masa kerana terpaksa berulang alik.

"Tapi selepas lima bulan di Putrajaya, kami diminta keluar jadi tiga bulan kami tidak dapat berlatih.

"Dan kini Pulapol banyak beri kerjasama, Alhamdulillah. Kami cuma berdepan masalah kekurangan padang sahaja," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam, di Nadi Arena sebentar tadi.

Dalam masa sama, atlet kebangsaan, Nurfaizal Hamzah dan Mohd Azalan Mohd Zain, yang menjadi prospek pingat tidak berselindung bahawa ia merupakan satu tekanan.

Namun, mereka juga ingin menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk berjuang di Sarawak.

"Saya akan jadikan ia sebagai cabaran untuk membantu pasukan mendapatkan pingat buat pasukan," kata Nurfaizal.

Tambah Azalan: "Saya tidak pernah capai apa-apa tapi saya akan cuba dapatkan pingat untuk pasukan."