Para Sukma Sarawak: R. Jeganathan komited lahirkan raja pecut para negara

Saufi Tahir
September 16, 2024 19:17 MYT
Menjelang temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024, bekas ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan mengakui masih belum 'cuci tangan' daripada bidang kejurulatihan sebaliknya dia masih aktif dalam melahirkan lebih ramai atlet olahraga para yang berkualiti.
Jelas jurulatih berusia 67 tahun itu, dia kini sedang melatih sembilan orang atlet dibawah Jega Athletic Club (JAC) termasuk seorang atlet olahraga para Negeri Sembilan, Muhammad Najmi Mohd Kher, yang akan beraksi bagi kategori T37 di Sarawak nanti.
Dia percaya tidak mustahil untuk JAC melahirkan lebih ramai jaguh dunia seperti bekas anak didiknya yang juga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik rio 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.
"Saya sekarang menjaga atlet Autism, para dan normal. Kini ada sembilan orang. Mereka umpama darah daging saya. Saya juga telah mulakan karier jurulatih daripada tahun 1979.
"Sebagai jurulatih walaupun kekurangan logistik sedikit mencabar tetapi saya akan mengeluarkan wang saya sendiri. Matlamat saya untuk lihat anak buah saya naik pentas. Kebanyakan mereka juga kini merupakan juara peringkat daerah," kata R. Jeganathan.
Sementara itu, Najmi teruja apabila dapat sentuhan daripada jurulatih berpengalaman kelahiran Sitiawan,Perak itu.
Walaupun sedar akan saingan sengit menantinya dalam Para Sukma 2024, Najmi tetap optimis dia mampu menuai pingat emas dalam penampilan sulungnya di temasya yang bakal memasuki edisi ke-21 tahun ini.
Untuk rekod, atlet berusia 22 tahun itu bakal beraksi dalam dua acara iaitu 100 meter dan 200 meter di Sarawak nanti.
"Saya bangga dapat berlatih dengan jurulatih R. Jeganathan, dia sudah banyak mengubah penampilan larian saya dan sikap saya.
"Rasa gementar itu ada tetapi saya ambil itu sebagai pembakar semangat saya untuk terus mara dan raih pingat emas nanti. Saya mahu mewakili negara seperti Ridzuan Mohamad Puzi. Banggakan Malaysia dan keluarga." katanya.
#Para Sukma Sarawak