Para Sukma: Sarawak juara kali ke-13
Azizan Hashim
November 28, 2018 22:31 MYT
November 28, 2018 22:31 MYT
Sarawak berjaya mengekalkan gelaran juara keseluruhan Para Sukma Perak 2018 yang berakhir sebentar tadi.
Kontinjen Bumi Kenyalang itu mengutip 61 pingat emas, 45 perak dan 40 gangsa untuk muncul juara keseluruhan temasya dwi-tahunan itu buat kali ke-13.
Pencabar terdekat, Sabah, jauh ketinggalan dengan 36 emas, 28 perak dan 30 gangsa.
Tuan rumah, Perak, kekal di tangga ketiga dengan 29 emas 33 perak dan 22 gangsa, mengatasi Johor di tempat keempat dengan kutipan 29 emas, 32 perak dan 34 gangsa.
Sarawak turut memenangi Piala Semangat Paralimpik berikutan pencapaian cemerlang mereka mengungguli temasya kali ini.
Atlet Wanita Terbaik dimenangi Nur Feiqha Mualad Mohd Halil (catur) dari kontinjen Negeri Sembilan selepas mengumpul empat pingat emas, manakala Atlet Lelaki Terbaik pula menjadi milik Jaklon Ganding (olahraga) dari Sabah yang memenangi tiga emas.
Upacara penutup Para Sukma Perak disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di Stadium Indera Mulia, Ipoh, sebentar tadi.
Turut hadir adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.
Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata semangat dan iltizam atlet para dalam melakukan persiapan dan mengambil bahagian dalam temasya Para Sukma kali ini meletakkan mereka sebagai wira dan wirawati sebenar.
"Anda semua adalah yang terbaik. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas!
"Ini sekali gus memenuhi objektif menjadikan temasya ini sebagai medan yang disediakan kerajaan bagi memberi ruang kepada bakat muda dari golongan istimewa untuk membuktikan kemampuan mereka.
"Saya ingin berkongsi rasa kagum dengan semangat barisan atlet para kerana berjaya membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk berjaya dalam bidang sukan," katanya.
Menurutnya, secara peribadi beliau melihat atlet para wajar diangkat oleh masyarakat sebagai wira luar biasa dalam realiti kehidupan dan menyeru masyarakat yang sempurna fizikal untuk mengambil iktibar daripada semangat dan kesungguhan atlet berkenaan.
"Kita perlu belajar daripada semangat enggan menyerah kalah mereka. Bukan sahaja dalam acara sukan tetapi juga dalam kehidupan harian.
"Kita perlu mengakui mereka telah membuktikan kepada masyarakat bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk berjaya dan semoga ia menjadi pencetus semangat kepada kita semua untuk tidak sekali-kali mengalah dengan cabaran dalam kehidupan," katanya.
Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua atlet dan pegawai kontinjen yang mengambil bahagian dalam temasya Para Sukma kali ini.