Para Sukma Sarawak: Dua tahun persediaan Safwan pecah rekod kebangsaan
Shaiful Shamsudin
September 24, 2024 22:23 MYT
September 24, 2024 22:23 MYT
"Dikala orang melihat kekurangan dia tetap melihat kelebihan dan cerita sebuah perjuangan sedang ditulis atlet para 50m gaya bebas lelaki S9 untuk Selangor, Safwan Suhaimi, apabila kejayaan mengekalkan pingat emas Para Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak menjadi suntikan semangat untuknya lebih berjaya.
Menariknya, edisi kali ini Safwan bukan sahaja meraih emas, malah memadam rekod kejohanan dan kebangsaan yang direkodkan pada 2018 oleh perenang Sabah, Abd Halim Mohamad, dengan catatan 29.71 saat dan kini cemerlang dengan rekod baru 29.47s hari ini.
"Saya dapat pecahkan rekod kebangsaan yang diinginkan sejak dua tahun lalu lagi acara utama yang saya sertai," katanya di Nadi Arena hari ini.
Bagi anak sulung kepada tujuh orang adik-beradik yang berasal dari Sungai Way, Petaling Jaya, emas ini sangat bermakna kerana ini adalah ruang untuk dia membalas jasa ibu bapanya.
"Medal ini menyuntik semangat buat saya untuk beraksi dalam acara akan datang, seterusnya menyumbang pingat buat Selangor," katanya.