OLAHRAGA
Para Sukma Sarawak: Baddrol Bakhtiar terharu dengan perjuangan atlet
Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah, Radhi Mat Din, bersyukur dengan kejayaan yang diperoleh kontinjen Kedah memperoleh dua pingat emas Para Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, pagi tadi, sambil berharap negeri itu di landasan tepat untuk mencapai sasaran 15 pingat emas secara keseluruhan.
"Tahniah kepada barisan kejurulatihan yang telah bertungkus-lumus membawa kejayaan kepada Negeri Kedah," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Tidak cukup dengan itu, Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri Kedah, Baddrol Bakhtiar, turut meluahkan kekagumannya dengan semangat atlet para yang berjuang di Juching walaupun tampil serba kekurangan dalam acara masing-masing.
"Saya rasa sungguh terharu melihat atlet bertanding dalam Sukma kerana tidak mempunyai anggota badan yang begitu lengkap. Kita yang normal ini perlu rasa terharu dan memberikan sokongan kepada mereka," katanya pula.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli, turut menggalakkan ibu bapa yang mempunyai anak kelainan upaya agar terus keluar dan membangunkan potensi anak masing-masing walaupun sedar cabaran yang perlu dilalui mereka.
"Cabaran pertama atlet para ialah soal mengatasi kelainan atau kekurangan mereka.
"Cabaran yang kedua ialah masa depan mereka bahawa berapa lama mereka boleh bertahan dalam sukan. Inilah yang menjadi faktor (kebimbangan) ibu bapa jadi mereka kurang berani tampilkan kanak-kanak.
"Penglibatan OKU dalam sukan sangat membantu untuk mereka berjalan ke hadapan," katanya.