SUKAN LAIN
Para Asia Hangzhou: 35 pingat sasaran realistik MPM
Tiada sasaran pingat spesifik diumumkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) buat kontinjen negara yang bakal beraksi dalam Sukan Para Asia Hangzhou yang bermula Ahad depan.
Sebaliknya, MPM menetapkan sasaran 35 pingat tanpa mengira warna kepada 113 orang atlet yang bakal bawa cabaran Malaysia di negara Tembok Besar itu.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, keputusan itu dicapai selepas selesai bengkel penetapan sasaran pingat melibatkan badan induk itu, Majlis Sukan Negara (MSN) serta persatuan sukan kebangsaan yang diadakan pada 11 Oktober lalu.
Iklan
Jelasnya lagi, MPM perlu realistik dalam penentuan sasaran pingat memandangkan beberapa acara yang dianjurkan dalam edisi lalu tidak dipertandingkan kali ini; antaranya boling tenpin, B-8 boling padang di samping faktor persaraan pemenang pingat sebelumnya.
Kali ini, kontinjen para negara masih mengharapkan kepada sukan seperti olahraga, renang, powerlifting, badminton, boling padang, berbasikal trek serta tenis berkerusi roda sebagai sandaran utama penyumbang pingat buat kontinjen Malaysia.
"MPM dan MSN merumuskan 35 pingat tanpa mengira warna.
"Sekarang negara lain akan memberi cabaran besar dan membuat persiapan lebih serius tetapi kami juga serius sambil mengintai pingat daripada sukan di luar sasaran. Ada juga atlet yang akan buat kejutan.
"Jadi kami mulakan sasaran 35 pingat terlebih dahulu kerana kami tidak mahu kacau momentum itu dan biarkan mereka beri kejutan kita.
"Berikan kami tiga hari dan anda akan lihat kejutannya," kata Megat D Shariman di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, Kg Pandan, hari ini.
Dalam perkembangan sama, chef-de-mission (CDM) Sukan Para Asia Hangzhou, K.M Rajendran, mengakui tugas sukar menanti malaysia terutama untuk mengulangi pencapaian 17 pingat emas yang diraih edisi lalu.
Dia, bagaimanapun, percaya dengan persediaan rapi serta kesungguhan barisan atlet para negara dan tidak mustahil untuk Malaysia menyamai atau mungkin mengatasi pencapaian terdahulu.
Daripada 113 orang atlet yang bakal beraksi kali ini, seramai 54 orang merupakan atlet baru yang tampil buat julung kalinya dalam temasya ini.
"Sejujurnya memang sukar (untuk mengulangi pencapaian lalu) berdasarkan catatan, rekod pencabar.
"Banyak juga negara lain yang tidak fokus kepada warna pingat sebaliknya pungutan keseluruhan agar tiada tekanan kepada atlet
"Kita perlu realistik untuk sasaran. Tidak pula menang dengan kejutan besar," katanya.
Must-Watch Video