SUKAN ASIA 2018

Papan selaju: Khidmat Johari jadi taruhan

Penulis Jemputan 27/08/2018 | 04:31 MYT
Barisan atlet papan selaju negara, menagih pengalaman yang dimiliki Johari Fitry Khairrudin atau turut dikenali Joe Ipoh yang kini menggalas tugas sebagai jurulatih negara dalam Sukan Asia Indonesia.
Johari mempunyai legasi yang kuat dalam kalangan peminat sukan papan selaju tempatan, berkecimpung selama 20 tahun dalam sukan ini dan menjadi antara perintis terawal Malaysia ketika menyertai Asian X Games 1999 di Kuala Lumpur.
Kini, dia bertanggungjawab untuk memimpin barisan atlet muda negara dalam Sukan Asia memandangkan ini juga kali pertama sukan ekstrem seperti papan selaju disenarai masuk ke dalam temasya sukan ini.
"Saya curahkan ilmu daripada pengalaman saya dalam kejohanan besar. Saya mengajar mereka bagaimana untuk mendapatkan mata yang lebih," katanya.
Empat pingat emas ditawarkan untuk sukan papan selaju, dengan Malaysia akan menyertai kesemua acara street dan park untuk kategori lelaki dan wanita dengan mempertaruhkan empat atlet.
Berbanding Jepun yang dijangka akan mendominasi saingan, serta persiapan rasmi tuan rumah, Indonesia, yang menjalani latihan pusat di Amerika Syarikat selama tiga bulan, ia langsung tidak melemahkan semangat barisan atlet negara yang akan membuka tirai saingan esok.
"Dia banyak membantu kami daripada segi teknik selain mengajar strategi ketika beraksi," kata atlet negara, Christina Lai Grace.
Seorang lagi atlet, Atin Syahirah Roszizi, berkata: "Saya akan cuba untuk masuk ke final. Bagi altet lelaki negara, saya rasa mereka boleh cuba mendapatkan pingat."
;