SUKAN ASIA 2018
Papan selaju: Christina alami kemalangan ketika sesi pemanas badan
Hasrat atlet muda negara dalam acara papan selaju, Christina Lai, untuk melakukan penampilan pertamanya dalam Sukan Asia diragut hanya lima minit sebelum saingan sebenar bermula apabila ditimpa kecederaan pinggul ketika sesi memanas badan, hari ini.
Kejadian itu berlaku semasa sesi memanas badan tatkala Christina cuba melakukan aksi melompat bersama papan selajunya sebelum terjatuh secara tiba-tiba kerana hilang imbangan badan.
Dia tidak dapat bangun semula sehingga pihak perubatan dibawa masuk untuk memberikan bantuan.
Iklan
Keadaan kemudian bertukar menjadi kecoh setelah Christina mengadu mengalami kecederaan di bahagian pinggul kirinya dan dia terpaksa diusung oleh pasukan perubatan menaiki ambulans.
Penarikan diri Christina daripada acara akhir lapangan wanita itu bermakna kini tinggal dua lagi sandaran, masing masing dalam acara akhir jalanan wanita menerusi Fatin Syahirah Roszizi dan acara akhir jalanan lelaki yang diwakili Yaziru Amiru Basyir.
"Sebenarnya, saya tidak begitu nampak kerana sewaktu dia jatuh, Christina berada di kawasan yang dalam.
"Saya tidak pasti sama ada bahagian lutut atau tangan yang jatuh terlebih dahulu, jadi perlu tunggu keputusan imbasan," kata jurulatih negara, Johari Fitry Khairuddin.
"Agak malang ia berlaku sebelum saingan bermula. Dia mengalami kesakitan, terutama di bahagian belakang pinggul," tambah timbalan chef-de-mission (CDM) negara, Datuk Dr. SS Chema.
"Dia dibawa ke hospital dan melalui proses imbasan. Christina sangat kecewa, bukan kerana mengalami kesakitan tetapi disebabkan tidak boleh bertanding."
Must-Watch Video