TERJUN

Pandelela-Dhabitah gagal menyerlah di Kazan

31/03/2017 | 08:49 MYT
Pasangan penerjun negara, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, terlepas pingat apabila menamatkan saingan di tempat keempat dalam pusingan akhir 10m platform seirama Siri Terjun Dunia FINA Kedua di Kazan, Russia, hari ini.
Pandelela turun buat kali pertama bergandingan dengan Dhabitah musim ini, selepas dua siri terdahulu dia digandingkan bersama Cheong Jun Hoong dan berjaya meraih pingat perak dan gangsa.
Gandingan itu, bagaimanapun, tidak kekok mempamerkan keserasian tinggi seawal terjunan pertama bagi menduduki tempat kedua di belakang pilihan utama dari China, Si Yajie dan Ren Qian.
Rentak sama dikekalkan pasangan negara pada terjunan kedua dan ketiga untuk kekal di kedudukan tiga terbaik.
Aksi kurang kemas pada dua terjunan terakhir selepas itu menyaksikan Pandelela dan Dhabitah terpaksa akur sekadar menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan mengumpul 283.02 mata.
Emas kekal milik pasangan China manakala gandingan Kanada dan Russia melengkapkan kedudukan kedua dan ketiga.
Kedudukan:
1. Si Yajie-Ren Qian (China), 328.20m
2. Meaghan-Caeli (Kanada), 291.06m
3. Valeriia-Luliia (Rusia), 284.76m
4. Pandelela-Dhabitah (Malaysia), 283.02m
5. Tonia-Lois (Britain), 269.58m
;