Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, memaklumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara akan menjalankan bedah siasat Sukan Olimpik Paris 2024 pada Khamis depan bagi mengenal pasti penambahbaikan menjelang persiapan menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

"Bedah siasat acara yang terlibat dalam Sukan Olimpik tidak banyak jadi saya jangkakan sehari boleh siap.

"Pakar sains sukan dari Jepun akan hadir dan saya juga meminta presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) turut serta supaya media tahu isu sebenar," kata Nadi Arena sebentar tadi.

Hannah turut menggesa agar sembilan daripada 19 persatuan sukan kebangsaan yang masih belum buka akaun bank khas supaya segera berbuat demikian bagi memastikan dana daripada kerajaan dapat disalurkan.

"19 sahaja yang telah tandatangani MoU dan bukan semuanya buka akaun (kedua). Itulah sebabnya kami tidak boleh salurkan duit itu.

"Kalau tidak dinyatakan (perkara ini), ramai yang akan ingat kami tidak sokong, tidak beri duit," katanya lagi.

Jelas Hannah, selain melancarkan urusan pemberian dana, akaun bank khas persatuan sukan kebangsaan juga adalah demi memastikan proses audit dapat dilaksanakan.

Jun lalu, KBS telah memperkenalkan semula penyaluran peruntukan melalui kaedah pemberian kuasa bagi mengurus dan meningkatkan tadbir urus dana yang diterima.

"Kami bukan nak susahkan semua orang, kami cuma nak pastikan duit rakyat digunakan dengan elok.

"Ini adalah (perkara) asas. Sebagai ahli parlimen, saya kena buka akaun khas untuk terima peruntukan daripada Jabatan Perdana Menteri agar boleh diaudit bagaimana duit itu digunakan.

"Ini adalah tanggungjawab asas, tak boleh lari," katanya.