SUKAN LAIN
Pacquiao, Matthysse janjikan aksi menarik di Arena Axiata
Sejarah sekali lagi tercipta di Kuala Lumpur setelah 43 tahun dalam arena sukan tinju, dengan kali terakhir ketika pertembungan Mohamad Ali dan Joe Bugner di Stadium Merdeka pada 1975, dan kali ini Arena Axiata menjadi gelanggangnya dalam kategori welterweight.
Pertembungan di antara Manny Pacquiao dan Luca Matthysse dijadualkan berlangsung pada 15 Julai depan.
Pacquiao yang mencecah usia 40 tahun sudah memenangi lapan gelaran dunia dalam lapan kategori berlainan.
Dengan rekod 59 kemenangan dan hanya tujuh kekalahan, ini meletakkan Pacquiao sebagai pilihan.
Ia bukan mudah buat The Pacman yang berasal dari Filipina untuk berdepan peninju dari Argentina itu yang hanya tewas sekali daripada enam pertembungan sejak 2014.
"Kami mengetahui Matthyse seorang peninju yang agresif, kami akan menampilkan pertembungan yang penuh aksi," kata Pacquiao.
Sementara itu, Matthysse menjanjikan saingan sengit berdepan peninju yang dianggap legenda seperti Pacquiao dalam pertarungan 'Fights of Champions'.
"Ia bakal menjadi cabaran yang sukar untuk saya memenangi pertarungan ini. Tetapi saya akan berusaha dan menjalani persiapan rapi untuk bertemu Pacquiao. Saya akan memastikan gelaran ini menjadi milik saya akhirnya," kata Matthysse.
Seramai 15,000 penonton dijangka membanjiri Arena Axiata yang pasti menjadi tumpuan di seluruh dunia.
Dan Malaysia sekali lagi disebut-sebut menjadi venue pertembungan epik abad ini.