Selepas berjaya melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik 2024, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), akan meneliti suplemen dan vitamin terbaik buat badang negara, Aniq Kasdan, sebagai persiapan terbaik untuk bertanding dalam kategori 61 kilogram di Paris nanti.
"Dalam aspek ini, Institut Sukan Negara (ISN), perlu meneliti penggunaan suplemen yang mungkin boleh memberikan tenaga dan kekuatan kepada atlet ini. Saya sudah meminta untuk menyenaraikan beberapa suplemen yang bersesuaian," kata Datuk Ayub Rahmat, presiden PABM.
Pendekatan terbaru ini telah dikenal pasti mampu melepasi saringan ujian doping selain ianya tidak akan menjejaskan tumbesaran otot Aniq yang akan kembali menjalani sesi latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), rabu ini.
"Kita akan memastikan vitamin yang diperlukan oleh Aniq berkualiti dan mencukupi untuknya kerana sukan angkat berat ini memerlukan penggunaan tenaga yang banyak," kata naib presiden PABM, Amirul Hamizan Ibrahim.
Najmi Iman
Mon Apr 15 2024