ANGKAT BERAT
PABM rancang tubuh skuad kebangsaan baru dengan saiz lebih kecil
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, memberikan bayangan bahawa persatuan itu akan menubuhkan kembali skuad angkat berat kebangsaan selepas ia dibubarkan pada September lalu gara-gara isu doping.
Perancangan itu dipacu dengan kecemerlangan tiga atlet kebangsaan meraih pingat dalam Kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel 2022 di Tashkent, Uzbekistan sepanjang minggu ini.
Paling menyerlah adalah atlet muda, Mohamad Aniq Kasdan, yang bukan sahaja meraih pingat emas kejohanan kelayakan itu, bahkan angkatan
keseluruhan seberat 249 kilogram yang dilakukannya turut menyaksikan dia memenangi pingat perak acara 55kg Kejohanan Angkat Berat Dunia -- kedua-dua kejohanan berkenaan dijalankan serentak.
Iklan
Turut membanggakan adalah Aznil Bidin, yang meraih emas Kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel dan kelima Kejohanan Dunia, selain Erry Hidayat, yang turut layak ke Birmingham selaku pemenang pingat perak.
Memandangkan tiga atlet berkenaan sudah menempah tempat ke Sukan Komanwel, PABM bercadang untuk menubuhkan skuad kebangsaan baru dengan kapasiti lebih kecil bagi menumpukan persiapan atlet ke Birminghan pada Julai depan selain Sukan SEA Vietnam yang akan berlangsung dua bulan lebih awal.
"Ia tidak ramai (atlet), kami kecilkan skuad tetapi kami menjangkakan mereka yang terpilih mempunyai keupayaan untuk membawa pulang pingat buat Malaysia," kata Ayub kepada wartawan Astro Arena, Adam Zamri.
"Mudah-mudahan ia dapat dilakukan di peringkat Sukan SEA dan juga Sukan Komanwel.
"Saya menjangkakan jumlah atlet di peringkat kebangsaan hanya lima hingga enam orang melibatkan atlet lelaki dan wanita," katanya.
Must-Watch Video