ANGKAT BERAT
PABM perlu serius kendali kes Hafifi
Bekas atlet angkat berat negara, Ahmad Janius Abdullah, menggesa Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) lebih serius mengendalikan kes doping membabitkan Mohd Hafifi Mansor selepas badan induk itu mendakwa nama Hafifi tiada dalam senarai penggantungan musim 2017.
Janius membidas tindakan PABM yang tidak mendedahkan maklumat terperinci kepada ahli gabungan mengenai kes membabitkan Hafifi.
Kes itu lebih banyak diuruskan Presidennya, Datuk Ong Poh Eng, sedangkan PABM memiliki Pengerusi Jawatankuasa Anti Doping, Dr Turalan Singh, yang berpangkalan di Pulau Pinang.
Iklan
"Sepatutnya PABM mengambil tindakan untuk mencari penyelesaian bagi menangani masalah seperti ini. Contohnya, bertanyakan kepada pihak ADAMAS (Agensi Anti Doping Malaysia).
"Saya ada bertanya kepada pihak PABM tetapi mereka belum memberikan jawapan yang boleh kami guna bagi menjawab pertanyaan masyarakat luar," katanya.
Hafifi sedang menunggu proses pendengaran yang akan dikendalikan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) selepas positif bahan terlarang jenis anabolic steroid oxymetholone ketika menyertai Terbuka Australia di Melbourne, Mac tahun lalu.
Hafifi, yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014, berdepan penggantungan selama empat tahun kerana oxymetholone adalah bahan untuk meningkatkan prestasi yang meningkatkan pengeluaran sel darah merah dan menggalakkan pertumbuhan otot.
Ia disifatkan sebagai bahan terlarang yang serius oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA) di bawah kategori S1.
Must-Watch Video