ONE FC
One Championship: Netizen suntik kata-kata semangat buat Jojo
Muhamad Johan Ghazali Zulfikar, jaguh muda muaythai negara, terpaksa akur dengan keputusan pengadil apabila gagal mempertahankan rekod kemenangan keenam dalam One Championship.
Dalam pertarungan menentang Nguyen Tran Duy Nhat dari Vietnam, Johan atau lebih mesra dipanggil Jojo, memberikan persembahan yang bertenaga namun tidak cukup untuk menewaskan lawannya.
Rata-rata peminat di laman Facebook Astro Arena berpuas hati dengan keputusan itu, dan tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat buat atlet berusia 18 tahun itu.
Iklan
Seorang peminat menulis, "Mula masuk gelanggang nampak Jojo sedikit gementar, bila dah lawan baru gementar itu sudah hilang. Jojo, awak memang hebat, cuba lagi di lain perlawanan."
Ada juga yang berpendapat pengalaman akan mematangkan Jojo dalam jangka panjang.
"Jauh lagi perjalanan Jojo. Pengalaman akan buat awak lebih hebat," kata seorang lagi penyokong.
Peminat lain turut menyatakan bahawa Jojo tidak kelihatan penat, namun rezeki tidak berpihak kepadanya kali ini.
Mereka memuji Jojo kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius selepas perlawanan, berbeza dengan lawan-lawan lain yang menentang Nguyen sebelum ini.
Jojo, yang jauh lebih muda dan kurang berpengalaman berbanding Nguyen, berusaha keras dalam pertarungan tersebut.
Walaupun kalah tipis, semangat juang Jojo jelas memberikan tekanan buat lawannya yang kelihatan bermain 'play safe'.
"Bagus Jojo! Jadikan kekalahan ini sebagai satu pengalaman baik untuk terus maju ke hadapan dan berusaha lebih gigih lagi. Pertarungan seimbang cuma pengalaman sahaja yang memisahkan pemenangnya," kata seorang peminat lagi.
Walaupun usianya masih muda, potensi Jojo untuk menjadi juara dunia tetap cerah. Banyak penambahbaikan yang masih boleh dilakukan, dan kekalahan ini hanyalah satu langkah kecil dalam perjalanan panjangnya ke puncak dunia muaythai.
Must-Watch Video