Jaguh muay thai negara dan bintang One Championship, Muhamad Johan Ghazali Zulfikar, menegaskan bahawa dia akan bangkit susulan kekalahan pertamanya ketika menentang juara WMF Muay Thai lima kali dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat.

Berdepan perbezaan jurang usia yang hampir 17 tahun, ia ternyata tidak mematahkan semangat Jojo berdepan petinju Muay Thai berpengalaman itu.

Namun, Nguyen Tran Duy Nhat menamatkan rekod kemenangan 5-0 Jojo menerusi keputusan juri selepas aksi tiga pusingan di Bangkok, pagi tadi.

"Saya mengalami kekalahan sebelum ini dan ia merupakan sebahagian daripada proses kehidupan.

"Jangan menilai persembahan saya ketika saya peroleh kemenangan. Semua orang perlu menyaksikan kebangkitan saya selepas ini," kata atlet berusia 17 tahun itu.