Atlet muda seni mempertahankan diri negara, Johan Ghazali, berada dalam mood terbaik menjelang pertarungan keenam di saingan ONE Championship: ONE 167 berdepan Nguyen Tran, Sabtu ini.

Persediaan sebelum mengharungi pertarungan berdepan wakil dari Vietnam itu tertumpu kearahnya selepas dia mengakui bahawa dia bebas daripada kecederaan dan mahu memberikan sepenuh tumpuan di sebalik tamat bergelar sebagai seorang pelajar sekolah, baru-baru ini.

Sebelum ini, atlet muay thai berusia 18 tahun itu mengutip kemenangan sebanyak lima kali dan mahu mengekalkan rekod bersih tanpa kalah meskipun mengakui sedikit tekanan kerana akan berdepan dengan pencabar yang lebih berpengalaman namun, Jojo tetap optimis untuk menewaskan peserta tersebut hasil daripada tontonan video sebagai ulang kaji untuk memahami gerakan lawannya.

Atlet termuda yang meraih kontrak ONE Championship itu menegaskan bahawa habuan wang tunai bukan sasaran sebenar malah, mahu menjadikan sukan mencabar itu sebagai aspirasi kepada orang lain untuk menceburi bidang itu.