One Championship: Jojo idam buka gelanggang Muay Thai di Sarawak


Julai 6, 2024 19:05 MYT
Meskipun baru menginjak usia 18 tahun, sensasi Muay Thai negara, Johan 'Jojo' Ghazali, berazam untuk membawa sukan itu ke suatu tempat yang lebih tinggi.
Dia berimpian besar untuk mewujudkan arena gelanggang Muay Thai di tempatnya membesar, iaitu di Sarawak, seperti juga ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong.
"Insya-Allah satu hati nanti perlu ada, sebab Jojo rancang untuk bawa sukan Muay Thai ke peringkat seterusnya.
"Ia seperti mana yang dilakukan oleh Conor McGregor yang meletakkan level sukan tinju (boxing) ke satu peringkat seterusnya.
"Ini sebab Muay Thai dalam arena sukan pertarungan dunia sedikit kurang, jadi saya akan cuba lakukannya," tambahnya lagi.
Jojo berkata demikian ketika berkongsi detik sukar memulakan kariernya sebagai atlet Muay Thai di bumi Sarawak dalam satu temubual eksklusif bersama AWANI Pagi hari ini.
Menurutnya, ini kerana kekurangan fasiliti dan juga pertarungan menyebabkan dia dan keluarganya mengambil keputusan untuk mengembangkan sayapnya di Thailand.
"Saya bernasib baik apabila masuk (dalam) dunia muay thai, Jojo dapat jurulatih yang berasal dari Thailand kerana nak dapatkan pengalaman pertarungan kena pergi sana.
“Kalau nak bermula di Sarawak memang agak susah nak sampai di tahap ini disebabkan sukan ini masih kecil.
“Jadi daripada saya dan keluarga kecil, kalau nak bertanding kadang-kadang perlu mengutamakan perlawanan di sana, melalui pengalaman dan kemahiran disana lebih cepat naik,” tambahnya lagi.
Namun, meskipun sudah berkelana sehingga ke Thailand dan Amerika Syarikat, kini latihan Jojo dan pasukkannya sememangnya berpusat di Sarawak.
Dalam pada itu, dia berasa bertuah kerana bukan sahaja penduduk Sarawak, malahan seluruh penduduk Malaysia seolah-olah memberikan restu kepada dirinya, yang baru sahaja berusia 18 tahun, untuk mengembangkan bakatnya dalam sukan Muay Thai dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia.
--Astro Awani
#Muay Thai #ONE Championship #Johan Ghazali