ONE FC
ONE Championship: Jojo Ghazali sedia hadiahkan Estupinan kekalahan pertama
Debaran kian terasa menjelang pertarungan tiga pusingan flyweight antara jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar dengan bintang Colombia, Johan Estupinan bagi aksi ONE 170 di Impact Arena, Bangkok, Thailand, hari ini.
Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo dalam misi memburu kemenangan ketujuh daripada lapan penampilan dalam ONE Championship.
Namun, misi tersebut tidak mudah kerana petarung berusia 18 tahun dari Sarawak itu bakal merasai tumbukan padu Estupinan yang memiliki rekod kemenangan 100 peratus.
Iklan
“Di mata peminat, ini adalah pertarungan seimbang, jadi saya mahu membuktikan bahawa saya adalah yang terbaik.
“Saya tidak sabar untuk menunjukkan skil saya kepada dunia,” katanya.
Estupinan, 22, yang diberi julukan Panda Kick memegang rekod sempurna 26-0, turut mencipta nama sebagai bintang muda berbisa dengan empat kemenangan berturut-turut di pentas ONE Championship, termasuk tiga kemenangan knock out (KO).
Sebagai rekod, Johan bangkit daripada kekalahan di tangan Nguyen Tran Duy Nhat dari Vietnam dengan kemenangan 'knockout' (KO) ke atas jaguh Mexico, Josue Cruz pada ONE 168: Denver di Ball Arena, Denver, Colorado, Amerika Syarikat pada September lalu.
Kemenangan itu bukan sahaja memperbaiki rekodnya dalam ONE Championship kepada 6-1, malah Johan turut membawa pulang bonus prestasi sebanyak AS$50,000 (kira-kira RM222,000).
Selain pertarungan Johan dengan Estupinan, ONE 170 juga bakal menyaksikan tiga pertarungan gelaran dunia yang dinanti-nantikan.
Ia membabitkan kategori featherweight antara Tawanchai PK Saenchai (juara) menentang Superbon; bantamweight antara Superlek Kiatmoo9 (juara) menentang Nico Carrillo dan MMA bantamweight membabitkan Fabricio Andrade (juara) menentang Kwon Won-il. - Sinar Harian
Aksi ONE 170 bermula pada jam 8.30 malam ini.
Must-Watch Video