SUKAN LAIN
Olimpik Musim Sejuk: Tiada nasib buat Julian ke pusingan akhir
Atlet figure skating, Julian Yee, menghasilkan persembahan terbaiknya dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018, sebentar tadi.
Bukan sahaja menjadi tumpuan di Malaysia, malah Julian mendapat perhatian daripada media antarabangsa yang kagum dengannya berlatih di kompleks membeli-belah.
Misi pertamanya ialah perlu melepasi 'short program' dengan melakukan tujuh rutin yang ditetapkan dan Julian meraih mata tertinggi menerusi triple axel, iaitu 9.21 mata serta memungut 8.86 mata dalam triple flip triple toe loop.
Bertemakan lagu "To Build a Home", peluncur berusia 20 tahun itu mengumpul 38.37 mata untuk aspek teknikal sementara 35.21 mata lagi dalam persembahan, menjadikan jumlah mata terkumpulnya 73.58.
Ia merupakan catatan terbaik peribadinya untuk memadam rekod lamanya, 72.59 mata, dalam Kejohanan Trofi CS Nebelhorn 2016 di Jerman.
Bagaimanapun, Julian yang mula meminati figure skating sejak berumur empat tahun terpaksa akur gagal ke pusingan akhir selepas gagal menempatkan diri dalam kalangan 24 terbaik.
Dalam kalangan 30 peserta itu, dia menamatkan saingan di tangga ke-25 -- dipisahkan hanya 1.15 mata dengan pemenang slot tempat ke-24, Paul Fentz, dari Jerman.
Julian merupakan atlet figure skating sulung negara yang meraih tiket Sukan Olimpik Musim Sejuk selepas Jeffrey Webb membuat kemunculan dalam Sukan Asia Musim Sejuk di Jepun, tahun lalu.