SUKAN LAIN
Olimpik Musim Sejuk: Julian sasar persembahan bersih
Peluncur ais negara, Julian Yee, menjanjikan aksi memukau untuk penampilan sulungnya dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang, Korea Selatan, yang bermula minggu ini meskipun tidak diletakkan sebarang sasaran pingat.
Julian, yang layak secara merit selepas menduduki tempat keenam Kejohanan Trofi CS Nebelhorn di Jerman, September lalu, mengakui gentar untuk berdepan dengan beberapa nama besar dalam acara figure skating.
Walaupun peluangnya untuk ke pusingan akhir masih samar, sasaran peribadi pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu adalah mempamerkan kekemasan teknik lompatannya untuk memikat hati juri.
"Peluang 50-50, sama seperti dalam kelayakan. Selain persembahan dan tuah sendiri, nasibnya juga bergantung kepada kegagalan peluncur lain memberikan persembahan yang baik.
"Selagi saya buat yang terbaik, ia sudah cukup," katanya yang menduduki ranking ke-41 dunia.
Julian, 21, mencipta sejarah menjadi atlet pertama negara ke Sukan Olimpik Musim Sejuk sejak diperkenalkan pada 1924.
"Sasaran peribadi saya adalah menampilkan persembahan yang bersih, ia membawa maksud saya melakukan lompatan dan pusingan dengan baik.
"Saya menjangkakan untuk meraih setidak-tidaknya 70 mata, namun kita tidak boleh jangka dengan pemarkahan juri yang berbeza.
"Sasaran peribadi saya adalah untuk melakukan luncuran yang bersih," ujarnya.
Selain Julian, seorang lagi atlet negara yang membawa cabaran ialah Jeffery Webb dalam acara luncur salji giant slalom.