Olimpik LA: Shereen gigih kuasai acara 100m
Shaiful Shamsudin
Disember 11, 2024 19:48 MYT
Disember 11, 2024 19:48 MYT
Tahun 2025 bakal menjadi detik permulaan revolusi karier pemegang rekod kebangsaan 400 meter, Shereen Samson Vallabouy, dalam misi merealisasikan impian tertangguh peribadinya layak ke pentas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Salah satu transformasi Shereen untuk menjadi pelari lebih serba boleh dan lengkap adalah menerusi penglibatan dalam acara pecut 100m.
Salah satu faktor utama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memilih Azeem Fahmi untuk mengisi slot universal ke temasya Paris 2024 adalah kerana peluang itu hanya ditawarkan kepada atlet acara 100m dan 800m.
Andai Shereen berada dalam situasi sama seperti episod menuju Paris yang lalu, maka dia optimis untuk meyakinkan KOM memilihnya ke LA atas faktor kebolehannya beraksi dalam acara tersebut.
Enam bulan selepas impian Shereen untuk ke Olimpik Paris tidak menjadi kenyataan, pelari berusia 26 tahun itu membuka cerita melalui detik sukar tersebut bersama wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
"Ketika calon ke Paris belum dimuktamadkan, saya menaruh harapan dan terus gigih berlatih kerana beranggapan akan terpilih.
"Saya gembira bagi pihak Azeem tetapi dalam masa sama sedih tidak terpilih. Ia hari yang sukar buat saya. Ibu bapa dan jurulatih banyak memberi dorongan.
"Acara kegemaran saya adalah 400m tetapi saya perlu ada pelan B dan bersedia dalam acara 100m. Saya percaya mempunyai kepantasan. Saya akan lebih kerap menyertai acara 100M sebagai pelan tambahan.
"Kejadian tidak terpilih menguatkan lagi semangat saya untuk lebih bersedia," katanya.