SUKAN LAIN

Olahraga Terbuka Malaysia: Yu Tian letak misi perbaiki catatan

Penulis Jemputan 12/08/2019 | 05:48 MYT
Atlet lompat bergalah negara, Chuah Yu Tian, mengakui sudah mendapat rentaknya semula musim ini selepas memperbaharui rekod peribadinya dengan catatan 3.90 meter dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Kuala Lumpur, minggu lalu.
Sebelum ini, Yu Tian berdepan kesukaran untuk mengekalkan prestasinya sejak awal musim ini sebelum berjaya memperbaharui rekod peribadi terbaiknya.
Ini merupakan suntikan semangat buatnya menjelang Terbuka Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Jumaat ini.
Terbuka Malaysia akan menjadi medan pemilihan terakhir atlet olahraga ke Sukan SEA Filipina, November depan selepas dia melepasi fasa pertama dan kedua.
Atlet berusia 26 tahun itu masih belum berpuas hati dengan pencapaian terbaiknya, malah menyasarkan catatan 4.00m.
"Aksi saya tidak begitu konsisten pada tahun ini. Saya melakukan 3.70 meter dalam kejohanan pertama yang disertai musim ini dan sejak itu, persembahan saya mulai menurun.
"Bagaimanapun, prestasi saya dalam Terbuka Kuala Lumpur yang lalu merupakan pemangkin semangat," ujarnya.
Baginya, kekurangan pendedahan dan kejohanan musim ini menjadi faktor kepada persembahannya yang kurang konsisten.
"Saya nampak banyak ruang untuk diperbaiki terutama, daripada segi teknik dan pemilihan galah.
"Saya harap dapat tingkatkan persembahan sebelum Terbuka Malaysia dalam berusaha memperbaiki sebanyak mungkin kesilapan dalam kejohanan terdahulu.
"Tahun ini tidak banyak kejohanan yang boleh saya sertai ekoran ketiadaan acara lompat bergalah," katanya.
;