Olahraga MSSM: 0.01 saat pisahkan Izzatul Musfirah dengan rekod baru 100m wanita B-15

Shaiful Shamsudin
Oktober 15, 2023 19:33 MYT
Status juara 100 meter wanita B-15, Kejohanan Olahraga B-15 Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), hari ini belum cukup memuaskan hati Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira.
Ceritanya bermula selepas Izzatul Musfirah menamatkan saingan separuh akhir di balapan Stadium Tunku Abdul Rahman itu dengan catatan 12.18 saat untuk hanya dibezakan 0.01 saat daripada rekod kejohanan milik Azreen Nabila Alias.
Sedar hasratnya untuk meleburkan rekod milik idolanya yang turut berasal dari Terengganu itu bagaikan selangkah untuk digapai, sayangnya Izzatul Musfirah gagal mengekalkan rentak larian terbaiknya di pentas final.
Begitupun, emas menjadi pengubat dukanya, apatah lagi dalam masa yang sama dapat menggecewakan Felicia Yeap yang sekadar melengkapkan kedudukan podium.
"Selepas berlatih berbulan-bulan tapi akhirnya keputusan yang dicapai sebegini (terlepas cipta rekod) dengan hanya perbezaan 0.01s, nak buat macam mana.
"Saya agak tertekan dengan larian disebabkan tiupan angin tapi saya tetap bersyukur kerana dapat melakar catatan peribadi terbaik.
"Saya memang sasarkan rekod Azreen Nabila di Terengganu, MSSD dan MSSM.
"Saya kagum dengannya kerana pernah layak ke Sukan Olimpik memandangkan bukan mudah atlet wanita negara kita untuk ke sana," katanya.
#Olahraga #MSSM
;