Olahraga Malaysia masih relevan tapi makin hambar -- Zaiful
Penulis Jemputan
April 13, 2019 13:56 MYT
April 13, 2019 13:56 MYT
Bekas pelari 400 meter negara, Zaiful Zainal Abidin, berpandangan sukan olahraga di Malaysia masih relevan tetapi ia sudah semakin hambar.
Zaiful pernah mengecap gemilang selaku atlet negara sekitar 1998 hingga 2011.
Dia bersama rakan gandingannya dalam acara 4x400 meter, Zafril Zuslaini, S. Thipan dan Amran Raj Krishnan, pernah meraih pingat emas Sukan SEA dalam edisi di Korat, Thailand pada 2007.
Bagaimanapun, dia berasakan penganjuran sukan olahraga di Malaysia kini semakin hambar berbanding sewaktu zaman kegemilangannya dahulu.
"Bagi saya, sukan olahraga masih relevan," katanya dalam Nadi@1 sebentar tadi.
"Bagaimanapun, kita dapat lihat dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia baru-baru ini betapa ia amat mengecewakan kerana tidak ramai yang hadir.
"Jika dibandingkan dengan zaman saya dahulu, ibu bapa dan rakan-rakan pasti tidak sabar untuk menantikan kejohanan itu sehingga ada yang sanggup untuk menaiki bas ke stadium.
"Saya menyertai Terbuka Malaysia sejak berusia 17 tahun sehinggalah ketika saya bersara pada 2011.
"Apabila kami bertanding, persaingan dari luar negara juga amat hebat dan ia membantu kami untuk mencipta rekod yang baik.
"Kini, penganjuran di Malaysia hanya terus ke peringkat final.
"Ia menunjukkan penganjuran itu tidak disertai ramai atlet, jadi ia perlu dikaji semula," katanya.
Zaiful menegaskan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu memanfaatkan segala platform yang ada bagi mempromosikan sukan olahraga agar ia dapat kembali menjadi sukan yang diminati oleh peminat tanah air.
"Dunia teknologi kini semakin meluas dan semudah di hujung jari terutama media sosial.
"Pihak persatuan (KOM) dan mereka yang berkepentingan sepatutnya menjalankan tanggungjawab mereka untuk mempromosikan sukan olahraga kerana kalau kita dapat lihat di serata dunia, sukan olahraga merupakan ibu kepada sukan-sukan yang lain.
"Jadi, ia amat sayang sekiranya pihak persatuan itu sendiri tidak memanfaatkan platform yang ada untuk mempromosikan sukan olahraga," tambahnya.
Turut senada dengan Zaiful adalah pemenang pingat emas acara lompat tinggi bagi dua edisi Sukan SEA berturut-turut, Hakimi Ismail.
"Sebelum saya menjadi atlet, sukan olahraga memang sesuatu yang menarik dan kejohanan seperti Sukan Malaysia (Sukma) memang dinanti-nantikan.
"Kini, selepas bergelar atlet, ia kelihatan lebih jelas mengenai senario olahraga (negara) dengan saya dapat melihat sendiri perbezaan daripada segi penganjuran di antara negara kita dengan negara luar.
"Malaysia perlu memperbaiki banyak perkara daripada aspek penganjuran untuk menarik minat penonton dan perlu menjadikan ia lebih menarik di mata rakyat Malaysia.
"Waktu dulu, kita ada dua kategori, iaitu remaja kebangsaan dan terbuka kebangsaan.
"Kini, ia telah disatukan dan terdapat sistem ranking di mana hanya atlet yang terpilih sahaja dibenarkan untuk menyertai kejohanan itu.
"Penyertaan atlet yang besar akan menjamin kehadiran penonton yang ramai," katanya.