KL2017

Olahraga: Gu Yuan mahu Jackie raih kejayaan lebih besar

Penulis Jemputan 23/08/2017 | 12:11 MYT
Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer, terhutang budi dengan jurulatihnya, Gu Yuan, yang sanggup tidak pulang ke China sejak dua tahun lalu untuk membantunya merampas pingat emas Sukan SEA di samping melakar rekod baru temasya dan kebangsaan dengan balingan 65.90 meter.
Jackie dan Gu Yuan bukan sahaja memainkan watak sebagai anak murid dan guru, bahkan umpama anak dan ibu.
Atlet kelahiran Sarawak ini mempamerkan peningkatan mendadak sejak berlatih di bawah Gu Yuan. Ia kunci utama Jackie meraih pingat dalam empat penampilan dalam Sukan SEA, dengan emas di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini menjadi pencapaian terbaik.
"Selepas lima bulan berlatih dengan Gu Yuan, sebagai persiapan ke KL2017, saya berjaya memecahkan rekod kebangsaan. Kerana Sukan SEA, beliau tidak pulang ke China untuk bersama keluarganya bagi memastikan saya meraih kejayaan di sini," jelas Jackie.
Sementara itu, Gu Yuan berkata dia mahu Jackie terus berada di landasan tepat bagi memburu kejayaan.
"Saya mahu Jackie mengikut jejak langkah saya untuk cuba meraih kejayaan di pentas lebih tinggi pada masa akan datang," katanya.
Gu Yuan merupakan pemenang pingat emas acara baling tukul besi wanita dalam Kejohanan Piala Dunia IAAF 2002 dan Kejohanan Dunia serta tiga kali pemenang pingat emas Kejohanan Asia (1998, 2002, 2003).
Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.
;