Skip to main content

Sukan Lain

Olahraga GP Malaysia: Hasrat Hakimi pecah rekod tidak kesampaian

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hakimi-ismail.jpg
Hasrat jaguh lompat kijang negara, Hakimi Ismail, untuk memperbaharui rekod tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati di tempat kedua dalam Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.  

Hakimi menamatkan saingan dengan catatan 16.16 meter berbanding catatan 16.01m dalam Terbuka Singapura, minggu lalu.

Pemenang pingat emas, Jin Suok Sung, dari Korea Selatan memberi tentangan hebat kepada Hakimi dengan catatan 16.18m manakala pemenang pingat gangsa yang juga dari Korea, Nam Su-Hwan, membuat lompatan sejauh 15.35m.

Selepas ini, tumpuan Hakimi, yang merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 16.77m, akan beralih kepada Kejohanan Olahraga Asia di Doha, Qatar, bulan depan selepas menyertai tiga kejohanan berturut-turut pada bulan ini. 

"Setakat ini saya berpuas hati dengan (tahap persembahan) tetapi saya berasakan masih boleh buat yang lebih baik lagi, terutama dalam lompatan terakhir. 

"Aksi hari ini agak memenatkan, tambahan pula hanya melibatkan tiga peserta," jelasnya.

Sementara itu, atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, menganggap Terbuka Malaysia kali ini sebagai aksi pemanas badan sebelum menghadapi saingan di Doha.

Jackie meraih perak dengan balingan 65.87m sementara emas dan gangsa dimenangi wakil Korea, Lee Yun-chul dan Lee Huiyeong.

"Saya menyasarkan catatan 66.0m tetapi tidak berjaya. 

"Apapun, saya gembira dapat mencatat balnigan 65.87m dalam kejohanan pertama saya tahun in.

"Ia menghampiri rekod kebangsaan milik saya, jadi saya akan terus berusaha," kata Jackie. 

Atlet baling tukul besi wanita negara, Nurul Hidayah Lukman, teruja mampu meraih tempat kedua apabila mencatat 50.34m dalam penampilan pertamanya selepas tewas kepada atlet Korea, Park Seojin, dengan pingat gangsa diraih Fatin Nabihah Ibrahim.

"Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk buktikan bahawa saya boleh beraksi baik kerana selama ini kehadiran saya kurang dikenali," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video