Atlet pecut negara, Muhammad Aqil Yasmin, tidak tergugat dengan kemunculan Russel Alexander Nasir Taib sebagai pencabarnya dalam Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia di Bukit Jalil, Sabtu ini.
Selepas Russel memecahkan rekod kebangsaan acara 200 meter dalam Kejohanan Padang dan Trek Klasik Queensland, Australia, hujung minggu lalu, Aqil menganggap ia tidak akan menjejaskan semangatnya untuk meraih gelaran juara.
Raja Pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2018 itu optimis mampu memperbaiki catatan peribadi terbaiknya, 21.01 saat, dalam acara 200m dalam saingan GP kali ini untuk menempah slot ke Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Qatar, bulan depan.
"Saya tidak risau, itu dikira rezeki Russel.
"Untuk menjadi juara dalam GP Malaysia, saya perlu bersaing dengan pelari handalan di Malaysia.
"Saya tidak risau untuk berlumba serta menganggapnya sebagai cabaran," katanya.
Selain Russel, Aqil bertekad untuk menjadi pencabar sengit kepada rakan senegara, Badrul Hisyam Abdul Manap, Nixson Kennedy dan juara remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhamad Zohri.
Aqil, 22, turut menganggap saingan GP Malaysia yang bakal dihadapi ini sebagai persiapan untuknya menempah slot ke Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan.
"Walaupun ketiadaan Khairul Hafiz (Jantan), GP Malaysia akan menampilkan pelari hebat.
"Di situlah kita akan menyaksikan saingan sengit dalam acara 100 dan 200m, Sabtu ini," katanya.
Sukan Lain
Olahraga GP Malaysia: Aqil tidak gentar cabar gelaran 100m, 200m
Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena