HOKI
Nuraini mahu tuntut ilmu daripada Maartje Paum
Pakar pukulan sudut penalti negara, Nuraini Abd Rashid, gembira apabila Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bercadang menghantar skuad wanita berlatih di Belanda kerana ia membuka peluang untuknya bertemu pemain idolanya.
KHM merancang menghantar Malaysia Tigress berlatih di Belanda, Jerman, Ireland dan Itali, bermula Mac depan sebagai persediaan menghadapi separuh akhir Liga Hoki Dunia Wanita.
Ia peluang terbaik untuk Nuraini bertemu idolanya, Maartje Pauman, selaku pakar pukulan sudut penalti Belanda.
Maartje, yang merupakan antara pakar pukulan sudut penalti terbaik di dunia, telah membantu Belanda muncul juara dunia 2014 dan meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.
"Pauman seorang fliker yang serba boleh. Dia mampu menjaringkan gol, tidak kira dalam apa jua situasi.
"Dia adalah idola saya," ujar Nuraini.
Nuraini muncul penjaring terbanyak Malaysia dengan lima gol ketika skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah meraih gelaran naib juara Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia Wanita di Kuala Lumpur, minggu lalu.
Kejayaan itu meletakkan Malaysia layak beraksi di peringkat separuh akhir Liga Hoki Dunia Wanita yang akan berlangsung sama ada di Belgium atau Afrika Selatan sebagai kelayakan Piala Dunia 2018.
Jika berjaya, ia akan menjadi pencapaian terbaik dalam sejarah hoki wanita negara kerana sebelum ini Malaysia tidak pernah menjejakkan kaki ke Piala Dunia Wanita.
"Itu satu impian kalau dapat beraksi dalam Piala Dunia tetapi jika saya berpeluang mempelajari teknik daripada Pauman, itu mungkin satu bonus bagi saya," tambah Nuraini.